26 Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya.
27 Tetapi Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.”
28 “Tuan,” jawab wanita itu, “anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!”
29 Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!”
30 Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu.
31 Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota.
32 Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu.