17 Demikianlah ada empat belas generasi dari zaman Abraham sehingga zaman Daud, dan ada empat belas generasi dari zaman Daud sehingga masa pembuangan di Babel, dan empat belas generasi dari masa itu sehingga kelahiran Kristus.
18 Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah.
19 Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam.
20 Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah.
21 Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”
22 Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya,
23 “Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.” (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, “Allah menyertai kita”).