18 Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.
19 Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan.
20 Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu.
21 Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh.
22 Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.
23 Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel.
24 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya.