17 ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’
18 Apabila Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’
19 Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum; lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!’ Walaupun demikian kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan orang yang menerima kebijaksanaan itu.”
20 Lalu Yesus mula mencela bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduk di sana tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka.
21 “Alangkah malangnya kamu, hai Korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala.
22 Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!
23 Dan kamu, hai Kapernaum! Adakah kamu hendak meninggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dibuang ke neraka! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sehingga saat ini!