21 “Alangkah malangnya kamu, hai Korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala.
22 Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!
23 Dan kamu, hai Kapernaum! Adakah kamu hendak meninggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dibuang ke neraka! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sehingga saat ini!
24 Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani Sodom daripada kamu!”
25 Pada masa itu Yesus berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar.
26 Ya Bapa, memang hal inilah yang Engkau kehendaki.”
27 Yesus berkata lagi, “Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa.