29 ‘Tidak,’ jawabnya, ‘kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut.
30 Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.’ ”
31 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang.
32 Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.”
33 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. “Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.”
34 Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan.
35 Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi,“Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka;Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.”