19 Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.
20 Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul.
21 Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.
22 Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang.
23 Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ.
24 Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan.
25 Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka.