8 Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku!
9 Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
10 Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
11 Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!”
12 Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki.
13 Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?”
14 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.”