13 Barulah pengikut Yesus mengerti bahawa Yesus berkata-kata tentang Yohanes Pembaptis.
14 Apabila Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang dan berlutut di hadapan Yesus.
15 Dia berkata, “Tuan, kasihanilah anak lelaki saya! Dia menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api.
16 Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.”
17 Yesus menjawab, “Hai kamu orang yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah Aku harus bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!”
18 Yesus menengking roh jahat itu, dan roh jahat itu pun keluar daripada anak itu. Pada saat itu juga anak itu sembuh.
19 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus, dan apabila tidak ada orang lain di situ mereka bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?”