1 Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?”
2 Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua.
3 Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.
4 Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak.
5 Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.”
6 “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam.
7 Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!