6 “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam.
7 Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!
8 Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki.
9 Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.”
10 “Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga.
11 [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!]
12 Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu.