1 Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan.
2 Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
3 Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?”
4 Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan?
5 Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.’
6 Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”