7 Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, “Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?”
8 Yesus menjawab, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya.
9 Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.”
10 Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.”
11 Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya.
12 Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.”
13 Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu.