16 Lalu Yesus berkata lagi, “Demikianlah orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”
17 Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya pergi ke Yerusalem. Di tengah perjalanan, Yesus mengajak mereka ke tepi lalu berkata kepada mereka sahaja,
18 “Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya,
19 lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”
20 Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya.
21 “Apakah kehendakmu?” tanya Yesus.Ibu itu menjawab, “Berjanjilah bahawa apabila Tuan menjadi Raja, kedua-dua orang anak saya akan duduk di sebelah kanan dan kiri Tuan.”
22 Yesus berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum?”“Sanggup,” jawab mereka.