19 lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”
20 Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya.
21 “Apakah kehendakmu?” tanya Yesus.Ibu itu menjawab, “Berjanjilah bahawa apabila Tuan menjadi Raja, kedua-dua orang anak saya akan duduk di sebelah kanan dan kiri Tuan.”
22 Yesus berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum?”“Sanggup,” jawab mereka.
23 Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan-Ku. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Bapa-Ku yang menentukan siapa orang yang akan duduk di tempat itu.”
24 Apabila sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap dua orang bersaudara itu.
25 Oleh itu Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat.