9 Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!”
10 Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?”
11 “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus.
12 Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.
13 Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!”
14 Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka.
15 Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!”