1 Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus.
2 Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma.
3 Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi.
4 Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!”Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!”
5 Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri.
6 Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.”
7 Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi.