12 Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja.
13 Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?”
14 Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan.
15 Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai.
16 Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas.
17 Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?”
18 Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.