37 Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.”
38 Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya.
39 Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata,
40 “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!”
41 Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata,
42 “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya!
43 Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?”