41 Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata,
42 “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya!
43 Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?”
44 Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu.
45 Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap.
46 Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”
47 Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!”