21 Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka.
22 Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus.
23 Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit.
24 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus.
25 Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.