15 Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah.
16 Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.”
17 “Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku.
18 Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku.
19 Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah.
20 Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.”
21 “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’