19 “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya.
20 Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya.
21 Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!”
22 “Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya.
23 Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, alangkah pekatnya kegelapan itu!”
24 “Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.
25 Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu - apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian?