10 Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini.
11 Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub.
12 Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.”
13 Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.”Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga.
14 Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam.
15 Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus.
16 Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit.