14 Setelah itu pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa kami dan orang Farisi kerap kali berpuasa sedangkan pengikut-pengikut guru tidak berpuasa sama sekali?”
15 Yesus menjawab, “Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.
16 Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar.
17 Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.”
18 Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, “Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.”
19 Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta.
20 Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.