29 Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!”
30 Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.”
31 Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu.
32 Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat.
33 Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, “Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!”
34 Tetapi orang Farisi berkata, “Ketua roh jahatlah yang memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.”
35 Demikianlah Yesus pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan orang daripada berbagai-bagai penyakit.