11 Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu.
12 Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku.
13 Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain.
14 Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.
15 Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma.
16 Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi.
17 Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!”