14 Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.
15 Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma.
16 Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi.
17 Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!”
18 Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah.
19 Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya.
20 Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri.