23 Jika orang Yahudi kembali dan percaya, mereka akan dicantum semula ke tempat asal, kerana Allah berkuasa melakukan hal itu.
24 Kamu yang bukan orang Yahudi seperti cabang yang dikerat daripada pokok zaitun liar. Walaupun bertentangan dengan alam semula jadi, kamu dicantum pada pokok zaitun yang dipelihara. Orang Yahudi seperti pokok zaitun yang dipelihara. Oleh itu lebih mudah bagi Allah mengembalikan cabang-cabangnya yang sudah dikerat kepada pokok asal.
25 Saudara-saudaraku! Aku ingin kamu mengetahui suatu kebenaran yang belum diketahui orang. Jika kamu mengetahui perkara itu, kamu tidak akan menganggap diri kamu sangat bijak. Ketahuilah bahawa kedegilan umat Israel itu untuk sementara sahaja; sikap itu berlaku sehingga lengkap bilangan orang bukan Yahudi yang datang kepada Allah.
26 Beginilah semua orang Israel akan diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis,“Penyelamat akan datang dari Sion,Dia akan menghapuskan segala kejahatan keturunan Yakub.
27 Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka,pada waktu Aku mengampunkan dosa mereka.”
28 Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima Berita Baik daripada Allah, mereka menjadi musuh Allah. Tetapi hal itu membawa faedah bagi kamu, orang bukan Yahudi. Tetapi kerana pilihan Allah, orang Yahudi tetap dikasihi oleh Allah, kerana janji Allah kepada nenek moyang mereka.
29 Hal itu demikian kerana Allah tidak mengubah pendirian-Nya tentang orang yang dipilih-Nya dan diberkati-Nya.