7 Lalu bagaimana? Umat Israel tidak mendapat apa yang dicari oleh mereka. Yang mendapatnya hanyalah sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah. Yang lainnya menjadi keras kepala sehingga tidak mendengar panggilan Allah.
8 Di dalam Alkitab tertulis, “Allah menjadikan hati dan fikiran mereka lembap; sampai hari ini mata mereka tidak dapat melihat dan telinga mereka tidak dapat mendengar.”
9 Daud juga berkata,“Biarlah pesta jamuan mereka menjadi perangkap,biarlah mereka jatuh, dan biarlah mereka dihukum!
10 Biarlah mata mereka menjadi buta sehingga tidak dapat melihat;dan biarlah mereka sentiasa menderita kerana kesusahan.”
11 Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka.
12 Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan!
13 Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu.