15 Tetapi dalam suratku ini aku menulis dengan terus terang untuk mengingatkan kamu tentang beberapa buah perkara. Aku menulis dengan tegas, kerana Allah sudah mengurniai aku tugas khas.
16 Aku dijadikan hamba Kristus Yesus untuk menolong orang bukan Yahudi. Aku melakukan tugas seorang imam sewaktu aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah, supaya orang bukan Yahudi menjadi sebagai suatu persembahan yang menyenangkan hati Allah, dan yang ditahbiskan kepada-Nya oleh Roh Allah.
17 Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah.
18 Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan,
19 dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum.
20 Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain.
21 Di dalam Alkitab tertulis,“Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat,dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.”