14 Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat.
15 Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu, kerana fikiran mereka kadangkala menyalahkan dan kadangkala membenarkan perbuatan mereka.
16 Oleh itu, menurut Berita Baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada Hari Kiamat apabila melalui Yesus Kristus, Allah akan menghakimi segala rahsia hati dan fikiran manusia.
17 Bagaimana dengan kamu sendiri? Kamu mengaku kamu orang Yahudi. Kamu bergantung kepada Taurat Musa dan membanggakan hubungan kamu dengan Allah.
18 Kamu mengetahui kehendak Allah, dan dengan mempelajari Taurat kamu sepatutnya tahu memilih apa yang baik.
19 Kamu yakin bahawa kamulah pemimpin orang buta dan kamu cahaya kepada mereka yang dalam kegelapan.
20 Kamu pendidik kepada orang yang bodoh, dan guru kepada orang yang belum matang. Kamu yakin bahawa di dalam Taurat, kamu mempunyai segala pengetahuan dan ajaran yang benar.