Roma 4:10-16 BM

10 Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat.

11 Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat.

12 Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat.

13 Allah berjanji kepada Abraham dan keturunannya bahawa dunia ini akan menjadi milik mereka. Allah berjanji demikian bukan kerana Abraham taat kepada Taurat, tetapi kerana dia percaya kepada Allah sehingga dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya.

14 Jika apa yang dijanjikan oleh Allah hanya diberikan kepada orang yang taat kepada Taurat, maka tidak ada gunanya orang percaya kepada Allah, dan janji Allah pun sia-sia.

15 Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada.

16 Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua.