Roma 4:15-22 BM

15 Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada.

16 Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua.

17 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, “Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.” Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud.

18 Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.”

19-20 Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah.

21 Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya.

22 Itulah sebabnya Abraham “diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah”, kerana dia percaya kepada Allah.