Roma 5:10-16 BM

10 Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup.

11 Bukan itu sahaja; kita pun bersukacita kerana apa yang sudah dilakukan oleh Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui Kristus, kita sekarang dijadikan sahabat-sahabat Allah.

12 Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa.

13 Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan.

14 Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah.Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian.

15 Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus.

16 Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan “Bersalah”. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, “Tidak bersalah!”