1 Saudara-saudaraku sesama umat Allah, yang tercerai-cerai di seluruh dunia. Salam daripadaku, Yakobus, hamba Allah dan hamba Tuhan Yesus Kristus.
2 Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan,
3 kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan.
4 Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun.
5 Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Allah memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang.
6 Tetapi apabila kamu berdoa, kamu mesti percaya. Kamu tidak boleh ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu seperti ombak di laut yang diumbang-ambingkan angin.
7-8 Orang seperti itu tidak tetap pendiriannya dan teragak-agak dalam semua perbuatannya. Oleh itu dia juga tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada Tuhan.