19 Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.
20 Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah.
21 Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu.
22 Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya.
23 Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin.
24 Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya.
25 Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.