Yudas 1:4-10 BM

4 Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka.

5 Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhan menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya.

6 Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum.

7 Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang.

8 Demikian juga semua orang derhaka itu berkhayal, dan khayalan itu menyebabkan mereka berdosa terhadap tubuh sendiri. Mereka menghina kuasa Allah dan mencaci makhluk-makhluk mulia di syurga.

9 Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, “Tuhan menengking kamu!”

10 Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka.