1 Inilah perkhabaran yang dinyatakan oleh TUHAN kepada Nabi Habakuk.
2 Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan?
3 Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat.
4 Oleh itu undang-undang lemah dan tidak berguna; keadilan tidak pernah ditegakkan. Orang jahat selalu mengalahkan orang jujur di mahkamah; oleh itu keadilan diputarbalikkan.
5 Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya.
6 Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain.
7 Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang.