5 Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya.
6 Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain.
7 Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang.
8 Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa.
9 Tentera Babilonia mara dan menyerang dengan ganas; setiap orang ketakutan apabila mereka datang. Tawanan perang mereka sebanyak butir pasir.
10 Orang Babilonia menghina raja-raja dan mentertawakan para pembesar kerajaan. Tidak ada kubu yang dapat menghalang mereka. Mereka menambak tanah pada tembok kubu, lalu merebutnya.
11 Kemudian mereka bergegas pergi seperti tiupan angin. Mereka bersalah kerana mendewakan kekuatan sendiri.”