1 Inilah perkhabaran TUHAN kepada Maleakhi untuk disampaikan kepada umat Israel.
2 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku sentiasa mengasihi kamu.”Tetapi mereka menjawab, “Bagaimanakah TUHAN mengasihi kami?”TUHAN menjawab, “Esau dan Yakub bersaudara; Aku mengasihi Yakub serta keturunannya,
3 tetapi Aku membenci Esau serta keturunannya. Aku sudah memusnahkan kawasan berbukit milik Esau dan membiarkan tanahnya dihuni binatang buas.”
4 Jika keturunan Esau, iaitu orang Edom berkata, “Kota kami sudah dimusnahkan tetapi kami akan membinanya semula,” maka TUHAN Yang Maha Kuasa akan menjawab, “Biarlah mereka membinanya semula, tetapi Aku akan merobohkannya lagi. Orang akan menyebut mereka ‘Negeri derhaka’ dan ‘Bangsa yang dimurkai TUHAN selama-lamanya.’ ”
5 Dengan mata kepala sendiri orang Israel akan nampak kejadian itu, lalu berkata, “TUHAN sungguh berkuasa; kekuasaan-Nya sampai di luar negeri Israel!”