Maleakhi 2:11-17 BM

11 Penduduk Yehuda sudah memungkiri janji mereka kepada Allah serta melakukan hal-hal yang mengerikan di Yerusalem dan di seluruh negeri. Mereka sudah mencemarkan Rumah TUHAN yang dikasihi TUHAN. Orang lelaki sudah berkahwin dengan perempuan yang menyembah dewa-dewa bangsa lain.

12 Semoga TUHAN menyingkirkan orang yang berbuat demikian daripada umat Israel, dan tidak membenarkan mereka ikut dengan bangsa kita untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa.

13 Selain itu ada lagi yang kamu lakukan. Kamu menggenangi mazbah TUHAN dengan air mata; kamu menangis dan meratap kerana TUHAN tidak lagi menerima persembahan kamu.

14 Kamu menanyakan sebabnya Dia tidak lagi menerima persembahan kamu. Hal itu demikian kerana TUHAN tahu bahawa kamu tidak lagi setia kepada wanita yang kamu kahwini pada masa muda kamu. Wanita itu teman hidup dan isteri kamu, tetapi kamu sudah memungkiri janji kepadanya, walaupun kamu telah berjanji di hadapan Allah untuk tetap setia kepadanya.

15 Bukankah Allah yang menjadikan kamu satu tubuh dan satu jiwa dengan wanita itu? Apakah maksud Allah dengan hal itu? Maksud-Nya adalah supaya kamu mendapat anak yang benar-benar umat Allah. Oleh itu, pastikanlah supaya tiada orang di kalangan kamu yang memungkiri janji kepada isterinya.

16 TUHAN Allah Israel berfirman, “Aku membenci perceraian. Aku tidak suka apabila salah seorang daripada kamu berbuat hal sekejam itu terhadap isterinya. Pastikanlah supaya kamu tidak memungkiri janji untuk tetap setia kepada isteri kamu.”

17 Kamu sudah menjemukan TUHAN dengan kata-kata kamu. Tetapi kamu bertanya, “Bagaimanakah kami menjemukan TUHAN?” Dengan berkata, “Semua orang yang berbuat jahat dianggap baik oleh TUHAN Yang Maha Kuasa, dan Dia berkenan kepada mereka.” Atau dengan bertanya, “Di manakah Allah yang dianggap adil itu?”