5 Dalam perjanjian itu Aku berjanji memberi mereka hidup yang aman dan sejahtera. Aku menepati perjanjian itu supaya mereka menghormati Aku. Pada masa itu memang mereka menghormati Aku dan takut akan Aku.
6 Mereka mengajar apa yang benar dan bukan yang salah. Mereka akrab dengan Aku; bukan sahaja mereka melakukan kehendak-Ku, tetapi mereka juga menolong banyak orang supaya berhenti melakukan kejahatan.
7 Para imam wajib mengajarkan apa yang benar tentang Allah. Rakyat harus datang kepada para imam untuk mengetahui kehendak-Ku kerana mereka utusan TUHAN Yang Maha Kuasa.
8 Tetapi sekarang, kamu imam-imam, telah menyimpang dari jalan yang benar. Ajaran kamu sudah menyebabkan banyak orang berbuat salah. Kamu sudah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan kamu.
9 Oleh itu Aku pun akan menyebabkan kamu tidak dihormati oleh umat Israel kerana kamu tidak mentaati kehendak-Ku, dan kerana kamu membeza-bezakan orang ketika kamu mengajar.”
10 Bukankah kita semua mempunyai bapa yang sama? Bukankah kita semua diciptakan oleh Allah yang sama? Tetapi mengapakah kita saling memungkiri janji? Mengapakah kita menghina perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita?
11 Penduduk Yehuda sudah memungkiri janji mereka kepada Allah serta melakukan hal-hal yang mengerikan di Yerusalem dan di seluruh negeri. Mereka sudah mencemarkan Rumah TUHAN yang dikasihi TUHAN. Orang lelaki sudah berkahwin dengan perempuan yang menyembah dewa-dewa bangsa lain.