Maleakhi 2:8-14 BM

8 Tetapi sekarang, kamu imam-imam, telah menyimpang dari jalan yang benar. Ajaran kamu sudah menyebabkan banyak orang berbuat salah. Kamu sudah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan kamu.

9 Oleh itu Aku pun akan menyebabkan kamu tidak dihormati oleh umat Israel kerana kamu tidak mentaati kehendak-Ku, dan kerana kamu membeza-bezakan orang ketika kamu mengajar.”

10 Bukankah kita semua mempunyai bapa yang sama? Bukankah kita semua diciptakan oleh Allah yang sama? Tetapi mengapakah kita saling memungkiri janji? Mengapakah kita menghina perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita?

11 Penduduk Yehuda sudah memungkiri janji mereka kepada Allah serta melakukan hal-hal yang mengerikan di Yerusalem dan di seluruh negeri. Mereka sudah mencemarkan Rumah TUHAN yang dikasihi TUHAN. Orang lelaki sudah berkahwin dengan perempuan yang menyembah dewa-dewa bangsa lain.

12 Semoga TUHAN menyingkirkan orang yang berbuat demikian daripada umat Israel, dan tidak membenarkan mereka ikut dengan bangsa kita untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa.

13 Selain itu ada lagi yang kamu lakukan. Kamu menggenangi mazbah TUHAN dengan air mata; kamu menangis dan meratap kerana TUHAN tidak lagi menerima persembahan kamu.

14 Kamu menanyakan sebabnya Dia tidak lagi menerima persembahan kamu. Hal itu demikian kerana TUHAN tahu bahawa kamu tidak lagi setia kepada wanita yang kamu kahwini pada masa muda kamu. Wanita itu teman hidup dan isteri kamu, tetapi kamu sudah memungkiri janji kepadanya, walaupun kamu telah berjanji di hadapan Allah untuk tetap setia kepadanya.