1 Raja Adoni-Zedek, penguasa Yerusalem, mendengar bahawa Yosua telah merebut Ai dan sama sekali memusnahkan kota itu, dan bahawa dia telah membunuh raja Ai seperti yang dilakukannya terhadap kota Yerikho dan rajanya. Raja itu mendengar juga bahawa orang Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan umat Israel dan sekarang orang Gibeon tinggal bersama-sama umat Israel.
2 Penduduk Yerusalem sangat takut kerana Gibeon adalah kota yang besar, sama besarnya dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai dan orang Gibeon pejuang yang handal.
3 Oleh itu Raja Adoni-Zedek mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron, Raja Piream dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon,
4 “Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel.”
5 Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon.