25 Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.”
26 Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantung mayat-mayat itu pada lima batang pokok, lalu membiarkan mayat di situ sehingga senja.
27 Pada waktu matahari terbenam, Yosua memberikan perintah untuk menurunkan mayat-mayat itu dan membuang semuanya ke dalam gua tempat raja-raja itu bersembunyi dahulu. Batu-batu besar diletakkan pada mulut gua itu; batu-batu itu masih ada di situ sampai sekarang.
28 Yosua menyerang kota Makeda lalu merebutnya pada hari itu. Dia membunuh rajanya dan semua orang di kota itu. Tiada seorang pun yang tertinggal, semuanya dibunuh. Yosua memperlakukan raja kota Makeda seperti dia memperlakukan raja kota Yerikho.
29 Selepas itu Yosua dan tenteranya berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna.
30 TUHAN juga memberi umat Israel kemenangan atas kota itu dan rajanya. Mereka tidak membiarkan sesiapa pun hidup. Mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu. Mereka memperlakukan raja itu seperti mereka memperlakukan raja kota Yerikho.
31 Dari Libna, Yosua dan tenteranya berangkat ke Lakhis. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya.