4 “Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel.”
5 Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon.
6 Orang Gibeon mengirimkan berita ini kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal, “Tuan, janganlah tinggalkan kami! Marilah tolong kami dengan segera! Selamatkanlah kami! Semua raja orang Amori di perbukitan telah bergabung dan menyerang kami!”
7 Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal.
8 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.”
9 Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak.
10 TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan.