10 Wilayah Efraim terletak di sebelah selatan, dan wilayah Manasye terletak di sebelah utara; Laut Tengah menjadi sempadan kedua-dua wilayah ini di sebelah barat. Wilayah Asyer terletak di barat laut dan wilayah Isakhar terletak di timur laut.
11 Di dalam wilayah Isakhar dan Asyer, suku Manasye memiliki kota Bet-Sean dan Yibleam bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya, termasuk juga kota Dor (yang di tepi pantai), Endor, Taanakh, Megido, dan kota-kota di sekitarnya.
12 Tetapi suku Manasye tidak dapat mengusir penduduk kota-kota itu. Oleh itu orang Kanaan masih tinggal di situ.
13 Bahkan selepas umat Israel menjadi lebih kuat, mereka tidak mengusir semua orang Kanaan. Umat Israel cuma dapat memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka.
14 Keturunan Yusuf berkata kepada Yosua, “Mengapakah tuan memberi kami satu bahagian tanah saja sebagai milik kami? Bilangan kami besar kerana kami diberkati oleh TUHAN.”
15 Yosua menjawab, “Jika bilangan kamu besar dan perbukitan Efraim terlalu kecil bagi kamu, pergilah ke hutan di tanah orang Feris dan orang Refaim. Bukalah tanah baru di hutan mereka itu.”
16 Keturunan Yusuf menjawab, “Perbukitan itu tidak cukup besar bagi kami, tetapi orang Kanaan di dataran mempunyai kereta kuda daripada besi - baik orang Kanaan di Bet-Sean dan di pekan-pekan di sekitarnya, mahupun penduduk Lembah Yizreel.”