5 Itulah sebabnya suku Manasye mendapat sepuluh bahagian tanah, selain daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan,
6 kerana keturunannya lelaki dan perempuan mendapat bahagian tanah. Tanah Gilead diberikan kepada keturunan Manasye yang lain.
7 Sempadan wilayah Manasye bermula dari Asyer sampai ke Mikhmetat, di sebelah timur Sikhem. Dari sana sempadan itu menghala ke selatan, meliputi kawasan orang En-Tapuah.
8 Tanah di sekitar Tapuah dimiliki oleh Manasye, tetapi kota Tapuah di sempadan wilayah itu dimiliki oleh keturunan Efraim.
9 Dari situ sempadan itu turun sampai ke Sungai Kana. Kota-kota di sebelah selatan anak sungai itu dimiliki oleh Efraim, walaupun kota-kota itu di wilayah Manasye. Sempadan wilayah Manasye seterusnya mengikut pinggir bahagian utara anak sungai itu, lalu berakhir di Laut Tengah.
10 Wilayah Efraim terletak di sebelah selatan, dan wilayah Manasye terletak di sebelah utara; Laut Tengah menjadi sempadan kedua-dua wilayah ini di sebelah barat. Wilayah Asyer terletak di barat laut dan wilayah Isakhar terletak di timur laut.
11 Di dalam wilayah Isakhar dan Asyer, suku Manasye memiliki kota Bet-Sean dan Yibleam bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya, termasuk juga kota Dor (yang di tepi pantai), Endor, Taanakh, Megido, dan kota-kota di sekitarnya.