2 Masih ada tujuh suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.
3 Oleh itu Yosua berkata kepada umat Israel, “Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang telah diberikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu?
4 Lantiklah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan menyuruh mereka ke seluruh tanah ini untuk meninjau dan mencatat batas-batas tanah yang hendak dimiliki mereka. Selepas itu mereka harus kembali kepadaku.
5 Tanah itu akan dibahagi menjadi tujuh bahagian: suku Yehuda akan tetap di wilayahnya di sebelah selatan dan suku Yusuf di wilayahnya di sebelah utara.
6 Catatlah keadaan tujuh kawasan tanah itu, lalu berikannya kepadaku. Aku akan membuang undi untuk mengetahui bahagian mana yang diperuntukkan TUHAN, Allah kita bagi setiap suku.
7 Tetapi suku Lewi tidak akan mendapat bahagian tanah bersama-sama kamu, kerana bahagian mereka adalah mengabdi kepada TUHAN sebagai imam. Suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur sudah mendapat tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan Musa, hamba TUHAN, kepada mereka.”
8 Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, “Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu.”